Kecemerlangan ILP Ledang khususnya dan ILJTM umumnya diteruskan lagi dengan pencapaian yang amat membanggakan di dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia ( PKM ) kali ke 12 tahun ini. Daripada 7 orang pelajar ILP Ledang yang berjaya ke peringkat akhir, 3 daripadanya telah berjaya mengharumkan nama ILP Ledang kerana dapat menduduki 3 tempat teratas dalam bidang yang ditandingi. Mereka adalah Saudara Mohd Zarul Azali yang telah memenangi pingat emas dalam bidang IT Network System Administration, Saudara Zamru Zakaria yang berjaya menggondol pingat perak bagi bidang Kimpalan manakala pingat gangsa telah berjaya ditakluki oleh Saudara Muhammad Izzuddin Rosli untuk bidang CNC Turning. ILP Ledang mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka dan berharap agar usaha dan komitmen yang lebih gigih diteruskan untuk memastikan kejayaan di masa hadapan. Pencapaian cemerlang ini juga diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi serta suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk membuktikan kebolehan diri dalam bidang masing-masing selain dapat melahirkan persaingan yang sihat di kalangan pelajar itu sendiri. Setinggi-tinggi penghargaan juga wajar diberikan kepada para jurulatih yang telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk melatih para pelajar demi untuk memastikan kejayaan dapat digenggami seterusnya dapat mengekalkan kualiti kemahiran yang dipertahankan selama ini. ILP Ledang Boleh!
Mengimbas kembali kronologi pertandingan, pada 4 hingga 6 April 2011, ILP Ledang telah diberi penghormatan apabila terpilih menjadi tuan rumah untuk kali ketiga berturut-turut untuk Pra-Kelayakan Pertandingan Kemahiran Malaysia bagi bidang Mechanical Engineering Design – CAD yang menyaksikan 12 penyertaan di kalangan pelajar ILJTM yang mengambil bahagian iaitu ILP Ledang, ILP Pasir Gudang, ILP Bukit Katil, ILP Kuala Langat, ILP Pedas dan ILP Kota Kinabalu. Pertandingan kali ini diadili oleh 3 orang hakim profesional dari SIRIM, MFI dan UiTM. Sementara itu, sejumlah 16 orang pelajar ILP Ledang dari pelbagai bidang kemahiran telah menyertai Pra-Kelayakan Pertandingan Kemahiran Malaysia yang diadakan di serata lokasi terpilih dan daripada jumlah berkenaan, seramai 7 orang pelajar layak ke peringkat akhir.
No comments:
Post a Comment